Laman web merupakan medium yang telah lama wujud dan akan terus kekal relevan. Lihat sahaja, sudah berpuluh tahun kita berada di dunia maya. Walaupun dengan kemunculan pelbagai platform digital seperti Facebook, TikTok, YouTube, serta aplikasi di Play Store atau App Store yang menawarkan kandungan baharu, kita masih merujuk kepada laman web untuk mencari maklumat.
Ini membuktikan bahawa laman web akan terus menjadi sumber rujukan, sama ada dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang. Walaupun dengan kemajuan teknologi seperti realiti maya (VR) atau Metaverse, saya percaya laman web tetap akan memainkan peranan penting.
Sebagai contoh, teknologi kecerdasan buatan generatif seperti ChatGPT dan seumpamanya masih merujuk kepada laman web dan menyediakan pautan untuk pengguna mendapatkan maklumat yang lebih mendalam.
Mengapa Anda Perlu Mempunyai Laman Web Sendiri?
Terdapat beberapa sebab utama mengapa memiliki laman web sendiri adalah penting.
1) Aset Tetap di Bawah Pemilikan Sendiri
Dengan memiliki laman web sendiri, anda tidak lagi terikat dengan perubahan algoritma pantas seperti yang berlaku di Facebook, TikTok, atau platform media sosial lain.
Jika kita tidak mengikut arus semasa di media sosial, kandungan kita akan sukar untuk mencapai audiens yang lebih besar. Malah, ada pemilik akaun di Facebook atau TikTok yang kehilangan capaian (“reach”) mereka secara tiba-tiba atau akaun mereka dipadamkan tanpa amaran.
Sebaliknya, dengan laman web sendiri, anda tidak terkesan dengan perubahan algoritma media sosial. Selagi anda mematuhi terma dan syarat Google dalam menyediakan kandungan, laman web anda akan terus diindeks dan boleh ditemui dalam carian Google.
Laman web yang sentiasa dikemas kini juga berpeluang lebih tinggi untuk mendapat kedudukan dalam senarai 10 teratas di Google. Namun, “lama” di sini tidak bermaksud hanya wujud untuk tempoh yang panjang tetapi juga sentiasa aktif dan dikemas kini. Jika laman web tidak aktif, rankingnya akan merosot.
2) Kawalan Penuh Terhadap Kandungan
Dengan memiliki laman web sendiri, anda mempunyai kawalan penuh terhadap rupa bentuk dan jenis kandungan yang ingin dipaparkan kepada audiens. Sudah tentu, kandungan tersebut mestilah mematuhi undang-undang dan terma penggunaan Google.
Apa sahaja artikel atau video yang anda kongsikan di laman web anda akan kekal milik anda dan boleh diakses pada bila-bila masa di bawah aset digital anda sendiri.
Anda juga tidak perlu risau kandungan anda akan kena blok atau diharamkan akibat perubahan polisi platform media sosial.
3) Mesra SEO dan Mudah Diakses
Laman web membolehkan pengguna mendapatkan maklumat yang mereka perlukan dengan mudah pada bila-bila masa.
Apabila laman web anda sudah lama aktif, kandungannya akan lebih mudah mendapat kedudukan dalam 10 teratas carian Google. Oleh itu, penting untuk anda mula sekarang, kerana dalam jangka masa panjang, ia merupakan pelaburan yang tidak sia-sia. Dengan trafik yang semakin meningkat, anda juga boleh mencari cara menjana pendapatan atau menawarkan perkhidmatan berdasarkan kemahiran yang anda miliki.
4) Potensi Pendapatan Tanpa Had
Ini mungkin aspek yang paling menarik bagi anda. Tidak seperti media sosial yang mengehadkan cara anda menjana pendapatan, laman web memberi anda kebebasan sepenuhnya.
Dengan laman web sendiri, anda boleh menawarkan pelbagai bentuk perniagaan seperti e-dagang, perkhidmatan digital, pemasaran afiliasi, produk fizikal, produk digital, iklan melalui Google AdSense, dan banyak lagi.
Namun, jika anda masih baru, fokuslah dahulu pada penghasilan kandungan yang unik dan bernilai bagi pengguna.
Di Malaysia, masih terdapat banyak peluang berdasarkan kata kunci yang belum diterokai. Anda hanya perlu mulakan sekarang kerana tidak pernah ada istilah “terlambat” dalam dunia digital!
5) Kandungan Kekal (Evergreen) dan Meningkatkan Kepercayaan
Kandungan yang anda terbitkan di laman web akan kekal berada di enjin carian Google untuk tempoh yang sangat lama.
Selagi ada orang mencari maklumat tersebut, anda berpotensi mendapat audiens dan pelanggan baharu setiap tahun.
Laman web yang aktif dan lama juga meningkatkan kredibiliti anda di mata pembaca. Jika anda melihat sebuah laman web atau blog yang telah menyajikan kandungan sejak 10 tahun lalu, anda pasti lebih yakin dengan keasliannya.
Walaupun seseorang pertama kali mengunjungi laman web anda, mereka akan lebih cenderung mempercayai anda kerana laman web yang aktif secara konsisten membina kredibiliti dan keyakinan pengguna untuk berinteraksi atau membuat transaksi dengan anda.
Kesimpulan
Laman web bukan sahaja aset digital yang kukuh, malah ia memberikan kawalan penuh kepada pemiliknya, meningkatkan kebolehlihatan dalam enjin carian, dan menawarkan potensi menjana pendapatan yang luas.
Jika anda ingin membina kehadiran digital yang mampan, laman web adalah langkah yang tidak boleh anda abaikan. Jadi? Mulakan sekarang!

Leave a Reply