Memang tidak dinafikan, kita di akhir zaman ini memang iman sekejab naik, sekejab turun, tapi hakikatnya iman kita memang selalu turun.
Saya tidak tahu lah saudara saudari, tetapi itu yang saya hadapi dan berperang setiap hari.
Saya harap tulisan saya bermula pada tahun ini akan dapat lebih memberi manfaat kepada pembaca sekalian.
Mungkin sebelum ini saya banyak berkongsi tentang perniagaan dan kewangan, maka tahun ini mungkin agak berbeza.
Saya cuba untuk menulis dengan kata-kata saya sendiri dari pengalaman dan juga hati nurani, di kala dunia AI yang semakin mencengkam dunia maya sekarang dengan konten yang dikatakan kurang beremosi.
Baik, kembali kepada tajuk asal penulisan saya.
Kembali kepada kisah iman dan diri kita bila berhubung dengan Allah.
Kita biasanya agak berat untuk beribadat.
Hari ini, mungkin kita dapat membaca al Quran atau berzikir tetapi lepas itu belum tentu.
Apakah dan bagaimanakah caranya untuk kita tetap konsisten atau istiqamah?

Mungkin kita pernah kenal, lihat atau dengar sendiri tentang seorang yang begitu berhajat kepada sesuatu dari seseorang.
Sebagai contoh, kita boleh katakan seorang itu ingin meminjam duit dari kawan atau keluarganya, atau seseorang berjanji untuk membeli barang jualan darinya.
Apa agaknya yang dia akan lakukan untuk mendapatkannya?
Sudah tentu kita dapat agak situasinya di mana orang tersebut akan selalu menghubungi si fulan tadi samada dengan berhubung melalui telefon, seperti call, whatsapp atau apa sahaja cara yang boleh, mungkin juga melalui emel untuk mengingatkan tentang perkara yang dia hajat dari orang yang ingin memberi/membeli tadi.
Cuba kita renung dan bayangkan sejenak keadaan tersebut.
Betulkan?
Mungkin situasi itu pernah berlaku pada diri kita juga.
Subhanallah!
Alangkah bagusnya jika hati kita sentiasa mempunyai sifat berhajat itu pada ALLAH swt, yang sememangnya kita patut rasa begitu pada-Nya.
Seperti mana kita berhajat kepada manusia tadi, kita sentiasa buat hubungan dengannya, begitu juga yang SEPATUTNYA kita lakukan jika wujud dalam hati kita perasaan betul-betul atau sentiasa rasa berhajat pada ALLAH.
Maka apa yang akan kita lakukan, sudah tentu, seperti orang tadi sentiasa mencari kawannya untuk bertanya, maka kita akan sentiasa akan ada perhubungan dengan ALLAH samada paling mudah melalui zikirullah, tasbihat, selawat, beristigfar dengan membaca Al Quran , solat dan sebagainya.
Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita dan banyak beristigfar dan berdoa agar diberi kekuatan untuk hati dan bibir kita sentiasa berzikir pada ALLAH swt.
Amiinnn ya Rabbal Alaminn.
